



Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2025
Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak membiarkan kami rakyat Malaysia khususnya golongan B40 hidup
dalam kelaparan.
Selagi ada program MyKasih bukan sahaja rakyat tidak akan lapar malah dapat menikmati makanan berkhasiat untuk menjadi lebih sihat.
Itulah kata-kata dari netizen yang menyifatkan sumbangan MyKasih benar-benar tanda kasih seorang Perdana Menteri untuk setiap rakyatnya.
RATA-RATA NETIZEN
Tinjauan wartawan Jendela Madani hari ini mendapati rata-rata netizen sangat berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian MyKasih ini.
Sekalipun masih ada segelintir yang masih menyuarakan tidak puas hati di media sosial bahawa kerajaan Madani kononnya membiarkan hidup rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang.
Bagi ibu tunggal Nurin Saad 67, beliau amat berterima kasih kepada PMX kerana mendapat bantuan eKasih sebanyak RM150 sebulan.
Beliau akui sebelum ini terpaksa menggunakan sebahagian RM600 duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli barang dapur.
MEMBELI PELBAGAI BARANGAN
“Dengan MyKasih sebanyak RM150 saya boleh membeli pelbagai barangan termasuk beras, sardin, kopi, gula, minyak, biskut dan juga bahan pencuci kata Nurin yang tinggal di Kampung Jarak, Bintong, Perlis.
Kata Nurin beliau sangat berterima kasih kepada PMX kerana dengan bantuan MyKasih ini pastinya rakyat tidak akan kelaparan.
“Saya tidak faham kalau di zaman MyKasih ini masih ada yang merungut kelaparan,” kata Nurin.
Jelas beliau kalau malas sekalipun mahu memasak, mee segera termasuk dalam senarai barangan MyKasih masih boleh dimakan.
BANCUH SAJA AIR
Tambah beliau kalau lagi malas, bancuh saja air kopi atau teh 3 dalam 1 untuk dimakan dengan biskut yang juga ada dalam senarai barangan MyKasih.
“Jadi sebagai rakyat jangan mengomel yang bukan-bukan, kita sudah cukup makan, bersyukurlah dengan bantuan ini di zaman PMX,” ujar beliau lagi.
Latijah Awang, 68 dari Jalan Raja Syed Saffi, Kangar memberitahu dia dan suami seorang pesara menerima bantuan MyKasih RM100 setiap bulan yang disifatkan sangat membantu perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Sebelum ini saya terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membeli susu Omega Plus yang berharga lebih kurang RM50 setiap bulan untuk menjaga kesihatan,” kata Latijah.
DAPAT MEMBELI SUSU
Latijah bersyukur kini dengan MyKasih beliau dapat membeli susu yang disifatkan sebagai mahal bagi golongan B40.
“Sesungguhnya MyKasih sangat membantu bagi mengurangkan beban membeli barang keperluan seharian,” katanya.
Mohd Razali Bakar, 45 dari Pauh amat bersyukur kerana dengan MyKasih beliau dapat membeli makanan yang lebih sihat.
“Saya ada kencing manis, apabila dapat makan beras perang, alhamdulillah kadar gula dalam darah terkawal dengan baik,” kata beliau yang tidak menjangka dengan MyKasih beliau dapat membeli beras berkualiti tinggi. – JM
