Raja Muda bertemu Sekretariat Kontinjen Malaysia sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025

Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berada di Bangkok sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025, telah berkenan berangkat meluangkan masa mengadakan kunjungan ke Sekretariat Kontinjen Malaysia di The Grand Fourwings Convention Hotel, Daerah Bang Kapi, Bangkok pada Khamis.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan juga anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda berdua telah disambut oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah OLY, Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali, serta warga kerja Majlis Olimpik Malaysia.

Turut mengiring ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA Thailand, Datuk M. Rajasekaran.

TELAH MEMBERIKAN DORONGAN

Menurut pautan facebook MOM, pihak Majlis Olimpik Malaysia menjunjung setinggi kasih di atas keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis yang telah memberikan dorongan serta sokongan moral kepada seluruh anggota Kontinjen Malaysia yang menyertai Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 tersebut.

Pada semalam juga Baginda berdua beserta anakanda puteri turut berangkat menyaksikan atlet negara bertarung dalam sukan ping pong (Central Westgate, Nunthsburi), memperolehi pingat emas dalam sukan lumba basikal (Velodrom Hua Mark) dan perlawanan akhir bolakeranjang wanita (Stadium Nimibutr).

Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar pentas kejohanan Sukan SEA ini wajar dijadikan batu loncatan untuk setiap atlet negara melangkah maju lebih jauh, sama ada ke Sukan Komanwel, Sukan Asia, bahkan ke Olimpik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *