Timbalan Perdana Menteri Rasmi Standard Pengiktirafan Huffaz, Perkukuh Pendidikan Tahfiz Negara

Bagan Datuk, 21 Disember – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pendidikan tahfiz negara apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini merasmikan Standard Pengiktirafan Huffaz serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama jabatan agama Islam Negeri-negeri, IPT dan institut kemahiran sebagai langkah strategik memperkasa pelaksanaan pendidikan tahfiz secara tersusun, berstandard dan berkualiti di seluruh negara.

Majlis perasmian yang berlangsung sempena Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara itu menandakan satu lagi pencapaian penting negara dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan nasional yang progresif dan relevan dengan keperluan semasa negara.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengenalan Standard Pengiktirafan Huffaz yang akan bermula pada tahun 2026, mencerminkan komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk memastikan kualiti pendidikan tahfiz dipandu oleh piawaian menyeluruh merangkumi aspek tadbir urus, kurikulum, prasarana, kebajikan pelajar serta pembangunan profesional guru.

“Pendidikan tahfiz hari ini bukan lagi bersifat terpinggir, sebaliknya berkembang sebagai sebahagian daripada arus perdana pendidikan negara. Negara memerlukan huffaz yang bukan sahaja unggul dalam hafazan, tetapi mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan satu insentif signifikan sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan dalam pendidikan tahfiz, apabila Kerajaan memutuskan 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) akan diberikan insentif RM50,000 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000. Institusi-institusi berprestasi tinggi ini juga akan diketengahkan sebagai Model Institusi Tahfiz Malaysia untuk rujukan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar berbentuk sokongan kewangan, malah bertujuan mengiktiraf amalan terbaik, meningkatkan kualiti tadbir urus serta mengangkat reputasi pendidikan tahfiz Malaysia sebagai contoh unggul di persada global.

Majlis berkenaan turut dihadiri Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Pengarah JAKIM, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Ketua Polis Daerah (OCPD) Bagan Datuk serta Presiden Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) dan pengurusan tertinggi JAKIM, sekali gus mencerminkan sokongan padu pelbagai peringkat terhadap agenda pemerkasaan pendidikan tahfiz negara.

Program ini dianjurkan melalui kerjasama Pejabat Timbalan Perdana Menteri, JAKIM dan PINTA Kebangsaan, sebagai usaha bersepadu kerajaan dan pemegang taruh dalam membina ekosistem pendidikan tahfiz yang mampan dan diyakini masyarakat.

Bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani”, Himpunan Huffaz 2025 bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan ukhuwah dan kesatuan ummah, malah menzahirkan hasil positif pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang semakin matang.

Kerajaan MADANI, menurut TPM, akan terus komited memperkasa pendidikan tahfiz secara inklusif dan progresif agar para huffaz bukan sahaja unggul dalam hafazan al-Quran, tetapi juga mampu tampil sebagai profesional berakhlak, pemimpin berintegriti dan pemangkin pembangunan ummah serta negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *