




Oleh: Sholina Osman
23 DIS. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Malik Hussin atas pulangnya ke Rahmatullah awal pagi isnin.
Selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Baginda turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh warga MAIPs dan Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri Perlis atas kehilangan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dalam pembangunan dan pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.
Allahyarham Abdul Malik merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs yang pertama, berkhidmat dari tahun 2010 hingga 2015, sebelum kepimpinan MAIPs diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Mohd Nazim bin Mohd Noor. Sepanjang tempoh tersebut,
Allahyarham telah meletakkan asas penting kepada hala tuju pengurusan MAIPs secara lebih tersusun dan strategik.
MEMPUNYAI PENGALAMAN LUAS
Selain berkhidmat di MAIPs, Allahyarham turut mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Allahyarham pernah berkhidmat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum menyumbang bakti di Negeri Perlis sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Takmir, seterusnya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Susulan itu, Allahyarham telah diperkenankan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Majlis MAIPs, yang sekali gus memikul amanah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs yang pertama, membuka lembaran baharu kepada pengukuhan struktur pentadbiran dan pengurusan MAIPs secara lebih profesional dan berwibawa.
PROSES TRANSFORMASI PENGURUSAN
Pada era kepimpinan beliau, MAIPs telah menyaksikan proses transformasi pengurusan melalui kerjasama strategik dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Julai 2011, yang menjadi antara pemangkin utama kepada penambahbaikan tadbir urus, pemodenan sistem pengurusan serta pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan MAIPs.
Allahyarham turut dikenang sebagai tokoh yang menggasaskan program-program ikonik turun padang MAIPs, antaranya MAIPs Peduli dan Hijrah Minda, yang dirangka bagi mendekati masyarakat akar umbi, khususnya golongan asnaf dan golongan rentan, selaras dengan pendekatan dakwah bil hal dan kebajikan berteraskan keprihatinan.
Setelah menamatkan perkhidmatan pada 2015, Allahyarham turut memikul amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs, di samping diberikan kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi II, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Perlis, sekali gus mencerminkan kewibawaan serta kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan dan integriti beliau.
DIKEJARKAN KE HOSPITAL
Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, kira-kira jam 3.40 pagi tadi, selepas dikejarkan ke hospital pada petang semalam akibat kemerosotan kesihatan.
Pemergian beliau amat dirasai oleh seluruh warga MAIPs serta masyarakat Islam di Negeri Perlis yang mengenali dan menghargai jasa serta sumbangan besar Allahyarham sepanjang hayatnya.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada pengurusan hal ehwal Islam di Negeri Perlis, khususnya dalam landskap pembangunan institusi Hal Ehwal Islam, kebajikan dan dakwah.
Semoga Allah Azzawajalla mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosa-dosanya serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. – JM
