Raja Muda rasmikan inisiatif pencahayaan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni

Oleh: Sholina Osman
23 DIS. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan inisiatif pencahayaan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai yang dilaksanakan di Dataran Sanai, Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis baru-baru ini.

Program ini merupakan inisiatif oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, bertujuan memperkasa pembangunan komuniti melalui pengindahan persekitaran berteraskan identiti setempat, warisan budaya serta kesejahteraan rakyat.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

DILAKSANAKAN HASIL KUNJUNGAN

Inisiatif pengindahan Projek Transformasi Diraja Kampung Warna-Warni Seberang Ramai ini dilaksanakan hasil kunjungan Mohd Ali bersama rombongan ke kampung ini pada 3 Disember lalu, yang telah membuka ruang perbincangan serta pertukaran pandangan secara langsung berkaitan potensi pembangunan komuniti setempat.

Susulan kunjungan tersebut, satu kolaborasi pintar telah berjaya dijayakan melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dengan penglibatan kepakaran akademik dan teknikal kedua-dua institusi dalam merangka konsep, reka bentuk serta pelaksanaan projek pengindahan yang berimpak tinggi dan lestari.

Kolaborasi strategik ini memperlihatkan sinergi antara kepimpinan negeri, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dalam merealisasikan agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadikan Kampung Warna-Warni Seberang Ramai sebagai model transformasi komuniti yang berdaya saing dan beridentiti.

SIMBOLIK PENCAHAYAAN KAMPUNG

Kemuncak kepada acara, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah menyempurnakan simbolik pencahayaan kampung serta berkenan menerima “e-Beca” yang dipersembahkan oleh Mohd Ali.

Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa bersama penduduk setempat sekitar dua jam bagi menyaksikan keindahan malam di Dataran Sanai Kampung Pulau Ketam.

Pelaksanaan projek Kampung Warna-Warni Seberang Ramai ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi komuniti nelayan setempat, merancakkan sektor pelancongan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup penduduk sejajar dengan agenda pembangunan mampan Negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *