
Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
28 DIS. 2025
Saban tahun terdapat kes jemaah yang terpedaya dengan tawaran tidak sah melibatkan agensi pelancongan tidak berlesen atau individu yang menjanjikan “Haji Tanpa Giliran”, sehingga menyebabkan kerugian kewangan yang besar tanpa sebarang jaminan atau pampasan.
Selain itu, penyalahgunaan visa ziarah atau umrah dengan menetap melebihi tempoh dibenarkan sehingga musim haji adalah satu pelanggaran serius undang-undang Arab Saudi dan boleh mengakibatkan tindakan tegas, termasuk penahanan serta sekatan kemasukan ke negara tersebut.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dikongsikan oleh Naib Konsul Haji Jeddah, Affandi Abdullah kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu sesi taklimat yang diadakan di Hotel Dar Taqwa Madinah Munawwarah, Arab Saudi.
TABUNG IBNU SABIL
Taklimat tersebut dipersembahkan oleh Affandi selepas beliau menerima sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs daripada Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs bagi pihak Pejabat Konsul Haji Jeddah untuk tujuan membantu rakyat Malaysia yang terkandas.
Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam sesi berasingan, Tuanku Raja Muda turut berkenan menerima mengadap Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin, Konsul Haji Malaysia di Jeddah.
Tambah Haji Affandi, ‘Kuota rasmi haji Malaysia yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah seramai 31,600 jemaah sahaja bagi setiap musim’.
“Majoriti bakal jemaah haji bagi musim 1447H / 2026M telah pun menerima surat tawaran serta menyelesaikan pemeriksaan kesihatan, dan kebiasaannya akan menunaikan haji sama ada melalui Muassasah Tabung Haji atau syarikat-syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji,” jelas beliau. – JM
