
SOALAN LAZIM
- Apakah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025?
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 Akta 866 ialah
undang-undang baharu yang bertujuan mewujudkan persekitaran
Internet yang lebih selamat untuk semua di Malaysia dengan
meletakkan tanggungjawab yang lebih jelas ke atas pemberi
perkhidmatan bagi melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak,
keluarga dan golongan rentan, daripada kandungan memudaratkan
dalam talian. - Kepada siapakah undang-undang ini terpakai? Adakah ia
terpakai kepada pengguna biasa?
ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang dilesenkan di
bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]
(Communications and Multimedia Act 1998 (CMA 1998)), iaitu
Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (Applications Service Provider (ASP)),
Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Content Applications
Service Providers (CASP)) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian
(Network Service Providers (NSP)) (dirujuk secara kolektif sebagai
Pemberi Perkhidmatan Berlesen).
Semua tanggungjawab kawal selia di bawah ONSA dikenakan ke atas
Pemberi Perkhidmatan Berlesen. Akta ini tidak terpakai terhadap
pengguna individu. - Pemberi perkhidmatan manakah yang dianggap sebagai
pemegang lesen di bawah kerangka pelesenan sedia ada?
Di bawah kerangka pelesenan semasa, pemberi perkhidmatan yang
menawarkan pesanan Internet atau media sosial dengan lapan (8)
juta lebih pengguna di Malaysia disifatkan sebagai pemegang lesen
ASP(C).
Oleh yang demikian, pemberi perkhidmatan ini tertakluk
kepada keperluan kawal selia di Malaysia dan semua platform media
sosial yang memenuhi kriteria perlesenan perlu mematuhi ONSA. - Mengapakah ONSA diperkenalkan?
Seiring dengan peningkatan penggunaan Internet, pengguna
semakin terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti
eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, buli siber
dan kandungan ekstremisme.
ONSA diperkenalkan bagi menangani
kandungan memudaratkan dengan menetapkan tanggungjawab
yang jelas ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen.
ONSA juga membantu membina keyakinan orang awam dengan
memastikan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan
untuk mencegah kemudaratan, mengesan dan menangani
kandungan memudaratkan, serta memperkukuhkan keselamatan
dalam talian untuk semua pengguna di Malaysia.
5.Apakah tanggungjawab Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah ONSA?
ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki mengambil langkah
proaktif untuk memastikan keselamatan pengguna daripada
kandungan memudaratkan dalam talian. Ini termasuk, antara lain,
melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pendedahan
kepada kandungan memudaratkan, mengeluarkan garis panduan
keselamatan, menyediakan alat dan tetapan keselamatan dalam
talian untuk pengguna, menyediakan sokongan kepada pengguna
melalui perkhidmatan mereka, serta memudahkan pelaporan
kandungan memudaratkan.
ASP dan CASP yang dilesenkan juga dikehendaki melaksanakan
langkah bagi melindungi keselamatan dalam talian semua pengguna.
Ini termasuk memastikan kandungan memudaratkan keutamaan
seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan
kandungan berkaitan penipuan kewangan tidak dapat diakses oleh
pengguna.
Selain itu, ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki
menyediakan dan menerbitkan Pelan Keselamatan Dalam Talian yang
menerangkan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan.
NSP yang dilesenkan pula dikehendaki bekerjasama semasa siasatan dan menyediakan bantuan teknikal yang munasabah mengikut
keupayaan mereka apabila diperlukan.
Mereka juga perlu menyediakan maklumat serta membenarkan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap ONSA.
6.Apakah itu “kandungan memudaratkan” dan “kandungan
memudaratkan prioriti” di bawah ONSA?
Di bawah ONSA, jenis kandungan memudaratkan disenaraikan dalam
Jadual Pertama seperti berikut:
(a) Kandungan mengenai bahan penganiayaan seksual kanak kanak
(CSAM);
(b) Kandungan mengenai fraud kewangan;
(c) Kandungan lucah;
(d) Kandungan sumbang;
(e) Kandungan yang boleh menyebabkan gangguan, tekanan,
ketakutan atau kebimbangan;
(f) Kandungan yang boleh mengapi-apikan keganasan atau
terorisme;
(g) Kandungan yang boleh mendorong kanak-kanak untuk
menyebabkan kemudaratan kepada dirinya;
(h) Kandungan yang bersifat hasutan jahat atau permusuhan dan
boleh mengganggu ketenangan awam; dan
(i) Kandungan yang menggalakkan penggunaan atau penjualan
dadah berbahaya.
Daripada kategori ini, bahan penganiayaan seksual kanak-kanak
(CSAM) dan kandungan berkaitan fraud kewangan dan scam
diklasifikasikan sebagai “kandungan memudaratkan prioriti”.
Kandungan ini mesti disekat secepat mungkin kerana kemudaratan
serius yang timbul daripadanya.
7.Apakah perubahan yang akan dilihat oleh pengguna dalam
ONSA?
Di bawah ONSA, pengguna boleh mengharapkan platform mengambil
langkah keselamatan yang lebih konsisten dan seimbang terhadap
keselamatan dalam talian. Ini termasuk maklumat dan garis panduan keselamatan yang lebih jelas, kaedah pelaporan kandungan
memudaratkan yang lebih mudah, bantuan yang lebih responsif serta
alat dan tetapan yang lebih baik untuk mengawal siapa yang boleh
mencari, menghubungi atau berinteraksi dengan pengguna.
Bagi perkhidmatan yang berkemungkinan digunakan oleh kanak-kanak, perlindungan yang lebih kukuh dijangka dilaksanakan secara
berperingkat. Ini mungkin merangkumi tetapan lalai (default setting)
yang lebih selamat, perlindungan privasi yang lebih kukuh serta kawalan yang lebih baik terhadap interaksi.
- Adakah ONSA mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Berlesen
yang relevan untuk menggunakan teknologi khusus bagi
pengesahan umur?
Peruntukan-peruntukan utama dalam ONSA tidak mengehadkan jenis
teknologi khusus yang perlu diguna oleh Pemberi Perkhidmatan
Berlesen.
Namun pada waktu ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia sedang meneliti pendekatan pengesahan umur, antara lain,
dengan penggunaan dokumen rasmi Kerajaan seperti MyKad, pasport
dan MyDigital ID, melalui proses sandbox yang melibatkan agensi
berkaitan dan platform media sosial. Penilaian ini akan turut mengambil
kira aspek keselamatan pengguna, perlindungan data peribadi, privasi,
serta kesesuaian dalam konteks perundangan dan kawal selia Malaysia.
Penggunaan mekanisme pengesahan umur yang terbaik akan
dimuktamadkan dalam instrumen subsidiari ONSA yang relevan.
9.Bagaimanakah ONSA membantu ibu bapa melindungi
keselamatan anak-anak mereka dalam talian?
ONSA membantu ibu bapa dengan meletakkan keperluan bagi
platform untuk menyediakan alat dan tetapan keselamatan yang
lebih baik serta panduan yang lebih jelas. Ini termasuklah tetapan
kawalan keselamatan untuk mengawal siapa yang boleh
menghubungi kanak-kanak, mengurus jenis kandungan yang boleh diakses atau dicadangkan kepada mereka, garis panduan yang jelas mengenai penggunaan yang selamat, serta mekanisme bagi
melaporkan kandungan memudaratkan dan bantuan pengguna.
- Bagaimanakah rakyat Malaysia akan mendapat manfaat
daripada ONSA?
ONSA membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih
selamat untuk semua di Malaysia, terutama kanak-kanak, keluarga
dan golongan rentan.
Platform media sosial akan bertindak lebih bertanggungjawab dan
pantas terhadap kandungan memudaratkan, serta menyediakan
piawaian keselamatan yang lebih jelas.
ONSA memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak, keluarga
dan pengguna rentan, di samping memastikan Internet yang lebih
selamat dan diyakini oleh seluruh rakyat Malaysia. – JM
