Waspada iklan tawaran badal haji serendah RM1,500 elak tertipu – Dr Zulkifli

Oleh: Sholina Osman
1 JAN. 2025

Orang ramai dinasihatkan supaya bijak menilai dengan iklan tawaran badal haji serendah RM1,500.00.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata rakyat Malaysia jangan mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan badal haji secara komersial demi mengelakkan penipuan dan kerugian.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan peraturan berkuat kuasa terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan pakej haji dan badal haji,” kata beliau dalam kenyataan media.

Dr Zulkifli berkata orang ramai dinasihatkan agar segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan, supaya siasatan dan tindakan perundangan dapat diambil dengan sewajarnya bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan integriti industri pelancongan negara terus terpelihara.

SUPAYA MENYEMAK KESAHIHAN

Beliau menasihatkan umat Islam di negara ini supaya menyemak kesahihan sebarang tawaran badal haji yang diiklankan secara meluas di surau-surau, masjid-masjid serta platform media sosial oleh agensi pelancongan atau individu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Jelas beliau pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan adalah sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji, termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi, skini perlu memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan haji.

“Kebanyakan pakej badal haji pula ditawarkan pada harga yang tidak munasabah, kerana jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk seseorang menunaikan haji secara sah,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, kata beliau orang ramai dinasihatkan agar segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan, supaya siasatan dan tindakan perundangan dapat diambil dengan sewajarnya bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan integriti industri pelancongan negara terus terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *