Bendung gejala negatif buli elak gugat keselamatan, kesejahteraan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
2 JAN. 2026

Gejala-gejala negatif seperti buli, sama ada secara fizikal, lisan mahupun siber yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan sama ada di sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kem-kem ataupun peringkat apa sekalipun hendaklah dibendung.

Kita harus sentiasa cuba memperkukuhkan usaha membanteras budaya buli ini secara bersepadu agar lokasi-lokasi ini kekal menjadi tempat yang selamat, kondusif dan menyenangkan untuk para penghuni menimba ilmu dan berkembang secara holistik.

Oleh itu, semua pihak termasuk pihak pengurusan, ibu bapa, dan masyarakat setempat perlu terus berganding bahu dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang harmoni, positif, dan sejahtera dapat dibina serta dikekalkan.

MENGETUAI PROGRAM MAIPs

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.

Program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja bersama MAIPs terhadap kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan orang ramai.

Sempena sesi kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni serta menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Setra@Norlia Ali, 65, dari Kampung Tandiap Seberang Ramai, Hasnah Taha, 64, dari Kampung Baru Seberang Ramai, serta Azmirul Azizan, 37, dari Kampung Seberang Alor, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka serta usaha meringankan beban kehidupan seharian.

KIOSK NIAGA USAHAWAN

Selain itu, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan tiga buah ‘Kiosk Niaga Usahawan Asnaf MAIPs’ kepada pengurusan Komuniti kampung berkenaan, selaras dengan usaha berterusan MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dalam memperkasa ekonomi golongan asnaf secara mampan.

Inisiatif ini juga diharapkan dapat membuka peluang penjanaan pendapatan yang lebih stabil, sekaligus meningkatkan taraf hidup penerima serta membolehkan mereka berdikari dalam jangka panjang.

Pada program yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis turut menyerahkan sumbangan pihak Yayasan kepada sembilan buah keluarga mangsa banjir besar yang melanda Perlis bulan lalu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *