Kerajaan pandang serius lirik lagu berunsur lucah yang bercanggah akhlak Islam – Dr. Zulkifli

Oleh: Sholina Osman
2 JAN. 2026

Kerajaan memandang serius penularan lirik lagu yang mengandungi unsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat, khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata Islam menuntut umatnya menjaga kesucian lidah, pendengaran dan hati.

“Ajaran agama mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan serta tidak merosakkan maruah dan akhlak insan,” kata beliau dalam kenyataan media.

MERAIKAN KARYA SENI

Dr Zulkifli berkata Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni, bukan sebaliknya.

Sehubungan dengan itu, kata beliau semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan diingatkan agar mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10-11 Februari 2015.

Beliau berkata garis panduan ini dengan jelas menetapkan bahawa lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan.

PERLU LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

“Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan yang selari dengan adab, budaya serta tuntutan syarak,” tambah Dr. Zulkifli

Jelas beliau hiburan yang baik ialah hiburan yang membina jiwa dan memperkukuh akhlak, bukan yang melalaikan dan merosakkan.

“Semoga teguran ini diterima dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat. “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku agar mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik.” (Surah Al-Isra’, ayat 53),” tambah Dr. Zulkifli. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *