4 ADUN Bersatu angkat sumpah sebagai Exco Perlis

Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2026

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis.

ADUN yang dilantik ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Datin Marzita Mansor (Sena), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).

Upacara pelantikan dan mengangkat sumpah barisan Exco baharu ini diadakan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau, Perlis pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Majlis turut disaksikan oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail; Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan.

PEMBENTUKAN BARISAN BAHARU

Pelantikan berkenaan menyaksikan pembentukan barisan baharu pentadbiran kerajaan negeri Perlis, dengan Menteri Besar, Mohd Abu Bakar Hamzah memegang enam portfolio utama.

Abu Bakar bertanggungjawab dalam pentadbiran dan kewangan; pelaburan dan ekonomi; tanah dan sumber asli; pelancongan dan seni budaya; infrastruktur serta kemajuan luar bandar; keselamatan dan hubungan sempadan.

Izizam pula menerajui portfolio hal ehwal agama, perumahan dan kerajaan tempatan, kepenggunaan serta sumber manusia dan modal insan.

Marzita pula memegang portfolio pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, pendidikan, perpaduan serta kebajikan dan pembasmian kemiskinan.

DIBERIKAN AMANAH MENGURUSKAN

Megat Hashirat diberi amanah menguruskan hal ehwal pertanian, kesihatan, keusahawanan dan koperasi serta alam sekitar.

Wan Zikri Afthar pula mengetuai portfolio belia dan sukan, komunikasi dan digital, pengangkutan serta sains, teknologi dan inovasi.

Pada sidang media selepas majlis pelantikan, Hamzah berkata barisan Exco baharu ini bersedia untuk menggalas tanggungjawab masing-masing.

“Kita akan mengharungi cabaran ini supaya dapat bekerja keras untuk memastikan Perlis akan berdaya maju seperti negeri-negeri lain,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *