


Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2026
Akibat terpedaya dengan iklan tawaran pelaburan mata wang asing yang menjanjikan kadar pulangan keuntungan tinggi di sebuah laman sesawang, seorang warga emas terpaksa akur dengan kerugian sebanyak RM261,420.00.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 67 tahun itu yang merasa diri terperangkap dengan pelaburan tidak wujud ini akhirnya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Johor untuk membuat laporan.
Beliau berkata hasil siasatan awal pada 15 Ogos 2025, mangsa telah melayari sebuah laman sesawang.
“Mangsa telah melihat iklan tawaran pelaburan mata wang asing yang menjanjikan kadar pulangan keuntungan yang tinggi,” kata beliau dalam kenyataan media.
EJEN PELABURAN TERSEBUT
Bahrin berkata mangsa kemudiannya telah berhubung kononnya dengan ejen pelaburan tersebut di mana seterusnya diminta untuk mendaftar akaun pelaburan melalui pautan yang telah diberikan.
“Antara tempoh 2 November 2025 sehingga 23 Disember 2025 mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM261,420.00 ke dalam empat akaun bank yang berbeza secara berperingkat,” kata beliau.
Jelas beliau mangsa kemudiannya mendapati bahawa terdapat wang keuntungan berjumlah RM500,000.00 di dalam akaun pelaburan tersebut.
Walaubagaimanapun mangsa telah diminta untuk membuat pembayaran bagi proses pengeluaran wang tersebut, namun mangsa tidak membuat sebarang pembayaran.
Setelah menyedari telah ditipu apabila tidak mendapat pulangan wang sepertimana yang telah dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu boleh disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan sebatan atau dengan denda. – JM
