





Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2026
Kecintaan terhadap tanah air serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi perlu disemai melalui pemahaman mendalam terhadap Perlembagaan dan Rukun Negara.
Usaha ini penting bagi melahirkan rakyat yang berjati diri teguh, matang dalam bertoleransi, dan bertanggungjawab.
Setiap langkah yang kita ambil hari ini merupakan pelaburan berharga demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh itu, seluruh lapisan masyarakat dan kepimpinan negara harus bersatu hati dalam menyuburkan keharmonian.
STRATEGI PENYATUAN NASIONAL
Kita amat memerlukan strategi penyatuan nasional yang mampu membina rasa kekitaan yang jitu, di mana setiap rakyat berperanan aktif dalam membentuk masa depan Malaysia yang bersatu padu.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Sumbangan MAIPs Peduli di sekitar Kampung Ulu Pauh, Arau.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif MAIPs Peduli merupakan antara program bantuan zakat yang bersifat holistik dan inklusif, dengan pendekatan βturun padangβ secara langsung bagi menyantuni golongan asnaf.
KEPRIHATINAN DAN KOMITMEN
Program berkenaan diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, sekali gus mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan institusi zakat negeri terhadap kebajikan umat Perlis.
Inisiatif ini bukan sekadar pemberian bantuan secara sekali sahaja, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek kelestarian kehidupan penerima, di samping memastikan pengurusan dan agihan zakat dilaksanakan secara berhemah, berfokus dan berkesan.
Pada program berkenaan, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Anizam Shaaban, 49, dari Kampung Ulu Pauh; Zainab @ Timah Saad, 86, dari Kampung Felcra Ulu Pauh, serta Yusof Shaari, 70, dari Kampung Padang Chempa Pauh.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai berjumlah RM700, selain Kit MAIPs Peduli yang mengandungi keperluan harian serta sumbangan beras fidyah bagi meringankan beban sara hidup mereka. – JM
