MAIPs salur RM280,000 bagi Fasa 1 Tahun 2026 perkukuh komitmen pendidikan Islam

Oleh: Sholina Osman
10 JAN. 2026

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkukuhkan komitmen terhadap sektor pendidikan Islam dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM280,000 bagi Fasa 1 Tahun 2026 ini.

Peruntukan tersebut diserahkan kepada dua institusi, iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad yang menerima RM80,000 dan Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM), Behor Mali yang menerima RM200,000.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Turut berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

PROGRAM HIJRAH MINDA

Penyerahan berkenaan dilaksanakan pada Program Hijrah Minda Bilangan 2 Tahun 2026 anjuran MAIPs sebelum keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menunaikan solat Jumaat bersama anak kariah Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit, Kangar.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, menjelaskan bahawa penyaluran dana ini merupakan sebahagian daripada strategi besar MAIPs untuk memastikan sekolah agama di negeri ini kekal kompetitif.

“Sumbangan ini bertujuan bagi menyokong keperluan pengurusan dan pembangunan prasarana di kedua-dua sekolah berkenaan. MAIPs sentiasa melihat institusi pendidikan Islam sebagai wadah utama dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki sahsiah yang unggul,” jelas beliau.

MEMBERIKAN IMPAK MAKSIMA

Beliau turut menekankan bahawa pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap peruntukan memberikan impak maksima kepada kebajikan pelajar.

“Penyaluran Fasa 1 ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah melaksanakan perancangan tahunan mereka dengan lebih efisien, terutamanya dalam meningkatkan kualiti pendidikan yang holistik dan berteraskan nilai Islam,” tambah Mohd Nazim.

Sumbangan bagi SMA Al-Maad telah diterima oleh Pengetuanya, Idris Ahmad, manakala bagi SAIM Behor Mali diterima oleh Zulkifly Rahmat.

Langkah ini membuktikan peranan proaktif MAIPs dalam memastikan kelestarian institusi pendidikan Islam di Perlis agar terus relevan dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *