Rejimen 504 Askar Wataniah sedia dua modul teras khusus untuk pelajar sekolah

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Rejimen 504 Askar Wataniah
10 JAN. 2026

Rejimen 504 Askar Wataniah menawarkan inisiatif latihan luar berteraskan pendidikan serta pembentukan sahsiah yang berpusat di Kem Bukit Keteri, Perlis menerusi program yang merangkumi dua modul teras, iaitu ‘Latihan Survival’ (Ikhtiar Hidup) dan ‘Kem Jati Diri’, yang disasarkan khusus kepada pelajar sekolah sebagai persediaan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Modul ‘Latihan Survival’ merangkumi sepuluh komponen utama yang menekankan kemahiran kelangsungan hidup di persekitaran hutan.

Antara pengisian latihan termasuk keupayaan mengenal pasti sumber air, pemilihan bahan semula jadi untuk dijadikan tali, kemahiran ikatan, serta pembinaan tempat perlindungan.

KOMPAS DAN PETUNJUK

Turut ditekankan ialah teknik navigasi menggunakan kompas dan petunjuk alam, asas bantuan kecemasan, kaedah pergerakan selamat di kawasan berbukit, serta pengurusan risiko ancaman haiwan berbisa, termasuk pengenalpastian dan tindakan awal sekiranya berlaku gigitan atau patukan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, sempena ‘Pelancaran Promosi ‘Latihan Survival Skill’ (Ikhtiar Hidup) dan ‘Kem Jati Diri’ Rejimen 504 Askar Wataniah Bagi Tahun 2026’ yang disempurnakan oleh anakanda-anakanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

TIDAK MELEPASKAN PELUANG

Sempena program yang diadakan di Survival Village kem tersebut, ketiga-tiga anakanda Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Komander rejimen tersebut telah tidak melepaskan peluang untuk turut dipersembahkan taklimat yang disampaikan oleh para pegawai dan anggota Rejimen 504 Askar Wataniah untuk mencuba sendiri teknik dan langkah-langkah latihan yang diajar, sebagai persediaan untuk membantu diri sendiri dalam situasi kecemasan atau saat-saat yang memerlukan.

Sebagai rekod, sepanjang tahun 2024 program ini telah melibatkan penyertaan 42 buah sekolah dengan seramai 3,276 orang pelajar.

Manakala pada tahun 2025, seramai 780 pelajar daripada tujuh buah sekolah telah mengikuti latihan ini sebagai pengisian pembinaan jati diri dan persediaan menghadapi cabaran kehidupan sebenar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *