



Oleh: Sholina Osman
12 JAN. 2026
Tarikan keuntungan pelaburan sehingga mencapai 500 peratus telah menjerat seorang doktor sehingga mengalami kerugian RM888,000.00.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang telah menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkenaan mangsa yang telah terpedaya dengan pelaburan saham yang tidak wujud melalui laman sosial Facebook (FB).
“Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mendakwa telah diperdaya melalui iklan pelaburan saham di laman FB dengan menggunakan nama “Financial Faiz” pada 18 September 2025,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
SATU KUMPULAN WHATSAPP
Beliau berkata mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Aura Wealth Navigation”.
Suspek kemudiannya telah menawarkan skim pelaburan saham dikenali sebagai “TNB Aura” yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 18 peratus hingga 22 peratus serta keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham yang ditawarkan dapat dicapai.
Yahaya berkata mangsa turut diarahkan untuk memuat turun dan memasang satu aplikasi pelaburan bernama “AURAMY” melalui pautan yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli pelaburan.
SEBANYAK 21 TRANSAKSI
“Bermula dari 8 November 2025 hingga 7 Januari 2026, mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM888,000.00,” kata beliau.
Bagaimanapun kata Yahaya mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000.00, sebelum gagal menerima sebarang pulangan seterusnya seperti yang dijanjikan.
Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan peribadi, pinjaman peribadi, pelaburan ASB serta Tabung Haji.
Mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – JM
