


Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026
Seorang suri rumah di Bera mengalami kerugian RM128,000.00 setelah terpedaya oleh “scammer” yang menawarkan kerja sambilan atas talian.
Ketua Polis Daerah Bera Superitendan Zulkiflee Nazir berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bera telah menerima laporan oleh surirumah berkenaan setelah terpedaya dengan penipuan modus operandi bagi tawaran kerja sambilan atas talian.
“Mangsa telah menerima panggilan telefon yang menawarkan tawaran kerja sambilan dalam talian dan berhubung melalui aplikasi Telegram dan aplikasi Whatsapp,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Berikutan itu mangsa perlu membuat tugasan dalam aplikasi jualan
barangan dalam talian.
KOMISEN YANG DIJANJIKAN
Setelah tugasan dibuat, komisen yang dijanjikan tidak diterima dan didakwa pula tugasan yang dibuat mangsa itu tidak bertepatan dengan kehendak suspek.
Suspek telah meminta bayaran sebagai denda dan mangsa pula dikehendaki membuat tugasan yang baru.
Mangsa telah membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akaun suspek berjumlah RM128,000 bagi membuat tugasan yang baru serta dijanjikan komisen lumayan.
DIPERDAYA OLEH SUSPEK
Bagaimanapun mangsa mula menyedari bahawa telah diperdaya oleh suspek setelah tidak mendapat wang pulangan yang dijanjikan.
Mangsa akhirnya tampil untuk membuat laporan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan modus operandi penipuan dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan yang lumayan. – JM
