MOT perluas FLYsiswa kepada empat kategori institusi pengajian tahun ini – Loke

Oleh: Sholina Osman
14 JAN. 2026

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperluas inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa kepada empat kategori institusi pengajian pada tahun ini yang dijangka akan memberi manfaat kepada 60,000 pelajar.

Menterinya Anthony Loke berkata empat kategori itu Akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan
(ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Malaysia ((LJTM), Universiti Separa Kerajaan (GLU), dan Institusi Pengajian Tinggi Milik Kerajaan Negeri (IPT).

Beliau berkata sebanyak RM24 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif FLYsiswa sebagai program tahunan MOT mulai 2025.

Loke berkata setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 daripada satu syarikat penerbangan yang terlibat, iaitu Malaysia Airlines Bhd, AirAsia Bhd dan Batik Air termasuk Firefly dan Air Borneo.

KARNIVAL PENGANGKUTAN SISWA

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FLYSiswa Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Loke berkata inisiatif FLYSiswa mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu pelajar, khususnya mereka yang terpaksa berulang-alik merentasi jarak yang jauh demi menuntut ilmu.

“Program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memastikan akses perjalanan udara yang lebih adil dan berpatutan kepada golongan pelajar,” katanya.

INI MEMBERI PELUANG

Menurut beliau lagi, penganjuran karnival ini memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat tepat secara terus daripada pihak berkaitan.

“Penganjuran Karnival FLYSiswa ini penting sebagai platform mendekati pelajar, memberi penerangan jelas mengenai kelayakan dan fasa pelaksanaan FLYSiswa 2026, serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati manfaat yang disediakan,” tambahnya.

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai pengisian disediakan termasuk kaunter informasi, sesi penerangan dan interaksi bersama pelajar bagi memperjelaskan pelaksanaan FLYSiswa bagi tahun 2026 yang dilaksanakan secara berfasa.

Untuk rekod, pelaksanaan FLYSiswa sejak tahun 2023 telah memberi manfaat kepada puluhan ribu pelajar dengan peningkatan jumlah tuntutan dari tahun ke tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan program ini dalam menyokong kebajikan pelajar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *