






Oleh: Sholina Osman
14 JAN. 2026
Adat ialah ‘akar’ yang menyambungkan kita kepada warisan, agama ialah ‘cahaya’ yang membimbing jalan kehidupan, dan pemerintahan ialah ‘wadah’ pelaksana amanah dan kebajikan.
Apabila ketiga-tiganya disatukan dalam satu sinergi yang bersepadu, maka terbinalah sebuah negeri yang hebat, seimbang antara kemajuan dan keperibadiannya, antara pembangunan dan ketulusan jiwa rakyatnya.
Sesungguhnya kekuatan sesebuah negeri bukan terletak pada kemajuan fizikal semata-semata, tetapi juga pada jati diri dan nilai budaya yang mampu dipelihara dengan baik.
Di sinilah pentingnya peranan adat istiadat Melayu yang harmoni dengan ajaran Islam dan selari dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di negeri dan juga negara kita ini.
MESYUARAT JAWATANKUASA ADAT
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar baru-baru ini.
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Kitalah penjaga amanah sejarah. Kitalah pelindung khazanah warisan. Maka tanggungjawab ini hendaklah dipikul dengan iltizam, kejujuran, hikmah, serta ikhlas kerana Allah SWT’.
Tuanku Raja Muda turut menekankan kepentingan mendidik generasi muda agar lebih memahami dan menghargai adat istiadat Melayu sebagai sebahagian daripada jati diri mereka.
Adat bukan sekadar pakaian atau upacara, tetapi satu sistem nilai yang mengajar erti sopan, hormat, dan susila yakni asas kepada masyarakat yang beradab dan bertamadun tinggi. – JM
