




Oleh: Sholina Osman
15 JAN. 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas bahan api disyaki diesel mencecah 21,000 liter dengan nilai dianggarkan mencecah
RM60,690.00 setelah berjaya membongkar taktik menggunakan lori kontena yang diubahsuai adanya tangki simpanan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata pada 13 Januari 2026, lebih kurang pukul 8.30 pagi, KPDN Selangor bersama Anggota Cawangan Khas Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kekuatan anggota keseluruhan sejumlah 20 anggota (10 KPDN Selangor dan 10 IPK Selangor) bertindak berdasarkan maklumat risikan selama sebulan telah berjaya menyerbu sebuah premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti tidak sah melibatkan bahan api diesel bersubsidi.
“Tindakan operasi secara sinergi bersama IPK Selangor ini mensasarkan sebuah premis terletak di sekitar Shah Alam yang dipercayai menjalankan urus niaga tidak sah melibatkan kenderaan jenis lori kontena yang membawa muatan bahan api disyaki jenis diesel,” kata beliau dalam kenyataan media.
TIDAK MEMPUNYAI DOKUMEN
Kenderaan lori kontena berkenaan dipercayai tidak mempunyai dokumen sah untuk membawa barang kawalan berjadual (bahan api jenis diesel).
Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas premis menjumpai kenderaan
jenis lori kontena terlibat dalam keadaan struktur badan lori kontena telah diubahsuai dan dimasukkan satu unit Steel Square Tank berkapasiti anggaran 18,000 liter dan dipercayai mengandungi bahan api diesel.
Pengubahsuaian ke atas lori kontena ini dipercayai untuk keperluan
membuat pengisian bahan api jenis diesel yang dibeli daripada stesen-
stesen minyak berhampiran berdasarkan kepada penemuan sebanyak 54 resit belian di dalam lori kontena tersebut.
BAHAN API DIESEL
Peralatan yang dipercayai
digunakan untuk aktiviti menyedut keluar/masuk bahan api diesel turut
ditemui semasa serbuan.
Tindakan arahan mengisytiharkan stok dan mengemukakan maklumat /
dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah
dikeluarkan kepada pemandu lori kontena yang ditemui di premis semasa serbuan.
Peruntukan kuasa di bawah seksyen 10(1)(a) Akta Kawalan Bekalan
1961, hasil serbuan ke atas premis ini telah membawa kepada penahanan ke atas lima orang tahanan lelaki warganegara berumur lingkungan 40-50 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan lori dan penjaga premis.
Kesemua suspek ditahan untuk
keperluan siasatan lanjut (rakaman percakapan).
TUGAS DAN KUASA
Dalam menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan di bawah Akta
Kawalan Bekalan 1961, sitaan telah dibuat ke atas sebuah lori kontena
yang berisi satu unit Steel Square Tank dan 2 unit Skid Tank berisi
disyaki bahan api diesel.
Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam serbuan ini
adalah mencecah 21,000 liter dengan nilai dianggarkan mencecah
RM60,690.00.
Anggaran keseluruhan nilai sitaan melebihi RM300,000.00.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu/ syarikat serta rantaian
pengedaran bekalan termasuk sumber barang kawalan berjadual (diesel) ini diperoleh dan diedarkan. – JM
