JAIS siasat wanita senam aerobik berpakaian jejas imej Islam

Oleh: Sholina Osman
19 JAN. 2026

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat penularan sebuah rakaman video menerusi TikTok melibatkan aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata jabatan ini memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Ini kerana perbuatan tersebut selain sangat tidak beradab, di mana mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” kata beliau dalam kenyataan media.

PENULARAN RAKAMAN VIDEO

JAIS mengulas demikian sebagai mengambil maklum penularan
rakaman video itu memaparkan seorang wanita bertudung memakai baju putih dan skirt pendek ketika aktiviti senam aerobik.

Sehubungan itu, JAIS sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu-individu yang terlibat.

JAIS memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di talian 1800-88-2424. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *