
MUKAH, 20 Jan — Pelaksanaan 42 projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Bahagian Mukah setakat ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan terancang serta kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan skim penempatan semula dan pembesaran kampung telah dilaksanakan sejak sekian lama bagi menyediakan kemudahan perumahan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan setinggan.
Menurut beliau, SPK merupakan antara inisiatif utama kerajaan negeri bagi memastikan rakyat memiliki tapak kediaman yang sah, selamat dan selesa.
“Projek pembesaran kampung dan skim penempatan semula ini telah lama dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan perumahan, terutama kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk di beberapa pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 53 projek pembangunan perumahan sedang dilaksanakan di Bahagian Mukah, merangkumi 42 projek Skim Pembesaran Kampung dan 11 projek skim penempatan semula di kawasan Meleng, Dalat, Daro, Matu dan Tanjung Manis.
Sebahagian projek telah siap, manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan.
Walaupun kos pembangunan setiap lot boleh mencecah sehingga RM150,000, kerajaan negeri terus meningkatkan spesifikasi projek dengan penyediaan jalan berturap, parit konkrit serta kemudahan asas yang lengkap.
Bagi meringankan beban rakyat, premium tanah ditetapkan serendah RM2,500 dan boleh dibayar secara ansuran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, CENTEXS Mukah.
Deen
