MAIPs lakukan Kaji Selidik Penggunaan Beras untuk kadar Zakat Fitrah 1447H / 2026M.

Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2026

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memulakan inisiatif pengumpulan maklumat menerusi Kajian Kaji Selidik Penggunaan Beras bagi menetapkan kadar Zakat Fitrah Negeri Perlis untuk tahun 1447H / 2026M.

Kajian yang bermula pada 20 Januari sehingga 27 Januari 2026 itu telah dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.

Turut berkenan berangkat mengiringi Baginda ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pelaksanaan kajian ini adalah susulan daripada keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs Bilangan 1 Tahun 2026.

BEEDASARKAN JENIS BERAS

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kajian ini amat penting bagi memastikan penetapan kadar zakat fitrah adalah tepat mengikut ketentuan dasar, iaitu berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan asasi (Qut Balad) majoriti masyarakat di Perlis ketika ini. Satu kertas cadangan akan diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Perlis.

“Kajian ini bertujuan bagi mendapatkan maklumat berkaitan penggunaan jenis beras yang dimakan oleh masyarakat bagi penetapan kadar Zakat Fitrah Negeri Perlis Tahun 1447H. Kerjasama dan perhatian masyarakat berhubung perkara ini amatlah dihargai,” ujar beliau dalam satu kenyataan MAIPs hari ini.

Sehubungan itu, MAIPs menyeru seluruh umat Negeri Perlis untuk menyumbangkan maklum balas mereka melalui pautan rasmi yang telah disediakan.

KADAR YANG SAKSAMA

Dapatan daripada tinjauan ini akan dianalisis bagi menentukan kadar yang saksama untuk pelaksanaan ibadah zakat fitrah pada bulan Ramadan tahun ini.

Orang ramai boleh menyertai kajian ini melalui pautan di Laman Portal MAIPs www.maips.gov.my atau mengimbas di Kod QR di beberapa paparan laman sosial rasmi MAIPs.

Tempoh kajian dibuka selama seminggu dan kerjasama semua pihak didahului dengan ucapan terima kasih oleh pihak MAIPs. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *