2 van Thailand disita ada 81 notis saman tertunggak, kompaun RM24,300

Oleh: Sholina Osman
22 JAN. 2026

Dua dari empat empat van Thailand yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis telah dikenalpasti mempunyai 81 notis saman tertunggak dengan kompaun berjumlah RM24,300.00.

Pengarahnya Noraini Mohd Rawi berkata empat van ini telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan melanggar syarat Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), termasuk tiada ICP serta pelbagai kesalahan teknikal.

Beliau berkata semua saman berkenaan perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum pelepasan kenderaan dibenarkan.

“Ia hasil operasi Ops Tunggak dan Ops PeWA (Pemandu Warga Asing) yang dilaksanakan di seluruh Perlis selama dua hari pada 19 dan 20 Januari 2026,” kata beliau dalam kenyataan media.

FOKUS PELAKSANAAN OPERASI

Noraini berkata fokus pelaksanaan operasi ini melibatkan pemeriksaan serta penguatkuasaan ke atas kenderaan asing, khususnya van Thailand, bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata dalam operasi itu pihaknya telah mengesan dan mengambil tindakan ke atas 13 buah kenderaan jenis van bernombor pendaftaran Thailand atas pelbagai kesalahan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 35
kesalahan telah dikesan melibatkan pemandu dan kenderaan berkenaan, termasuk kesalahan tiada Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), tidak mempamerkan ICP, tiada lesen memandu, serta pelbagai
kesalahan teknikal antaranya penggunaan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi,” kata beliau.

LEBIH DARIPADA SATU

Beliau menambah kesalahan-kesalahan tersebut melibatkan lebih daripada satu kesalahan bagi sesebuah kenderaan dan pemandu.

JPJ Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan
tanpa kompromi akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua kenderaan, termasuk kenderaan asing, mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya yang telah
ditetapkan.

JPJ juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menggalakan orang awam untuk mengguna pakai sepenuhnya Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@ipi.gov.my bagi penyaluran sebarang bentuk aduan
melibatkan kesalahan jalan raya/trafik sebagai salah satu usaha
bersama dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *