Doktor di Maran rugi RM285,000 jadi mangsa “phone scammer” menyamar wakil TNB

Oleh: Sholina Osman
27 JAN. 2026

Seorang doktor di Maran, Pahang terpaksa berputih mata apabila kerugian RM285,000.00 angkara “phone scammer” yang mengaku wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mendedahkan demikian setelah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang
menerima satu laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran berkaitan kes penipuan melalui panggilan telefon.

Beliau berkata pada 31 Disember 2025, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yqng bekerja sebagai doktor di sebuah hospital di Pahang, telah menerima panggilan telefon daripada beberapa individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai Pegawai Polis.

UBAH SUAI METER

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram serta aktiviti penipuan digital,” kata Yahaya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi tujuan siasatan palsu tersebut, mangsa telah diarahkan untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian.

Pada ketika itu juga mangsa kemudiannya diarah membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank.

“Mangsa telah membuat pinjaman daripada sebuah institusi kewangan sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza melibatkan dua belas transaksi, selain membeli 35 keping resit Razer Gold Topup dan menyerahkan nombor PIN kepada suspek,” kata Yahaya.

MELIBATKAN SIMPANAN PERIBADI

Akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM285,000.00, melibatkan simpanan peribadi dan pinjaman bank.

Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa
daripada agensi penguat kuasa atau institusi utiliti dan kewangan.

Sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan pihak polis atau agensi berkaitan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *