Sistem audit negara perlu dilaksana dengan pendekatan lebih pantas, tepat – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 JAN. 2026

Sistem audit negara perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih pantas, tepat, dan berorientasikan impak maksimum kepada rakyat, bukannya sekadar membetulkan kira-kira atau menjadi rutin semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata kelewatan dalam pelaksanaan audit boleh membuka ruang kepada ketirisan dan menjejaskan keyakinan awam terhadap ketelusan sistem pengauditan negara.

“Kalau kita kata sistem pengauditan kita baik dan telus, tetapi lambat dan lembao, ia akan membuka ruang ketirisan. Sebab itu audit perlu lebih pantas dan tepat,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin.

MENJADI LEBIH TELUS

Anwar berkata pengauditan memastikan keseluruhan sistem pengurusan menjadi lebih telus, bertanggungjawab dan berkesan.

“Tradisi ini selari dengan amanah awam yang menuntut kebertanggungjawaban dalam mengurus kepentingan rakyat,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Jelas beliau usaha pendigitalan dan penambahbaikan berterusan dalam sistem audit telah meningkatkan kecekapan serta keyakinan terhadap institusi ini, sekali gus menjadi benteng penting bagi mencegah ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

SESUATU YANG MEMBANTU

Beliau menjelaskan lebih penting, audit perlu dirasakan sebagai sesuatu yang membantu, bukan menekan.

Malah kata beliau ia mesti hadir lebih dekat dengan rakyat, mudah difahami dan membina kepercayaan.

“Apabila rakyat mengerti bahawa audit wujud untuk melindungi hak mereka dan memastikan wang awam diurus dengan amanah, ketakutan akan bertukar menjadi keyakinan dan jurang antara dasar dan realiti dapat dirapatkan secara berperingkat,” tambah beliau.

Dengan dukungan semua pihak, jelas Perdana Menteri sistem pengauditan yang dinamik dan berintegriti bukan sekadar memperkemas pentadbiran, tetapi memastikan negara ini melangkah ke hadapan dengan lebih adil, telus dan bermaruah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *