CUBESAT BUKA RUANG PENEROKAAN EKONOMI AEROANGKASA SARAWAK

KUCHING, 27 Jan – Sarawak melihat potensi besar teknologi satelit CubeSat sebagai pemangkin kepada agenda pembangunan ekonomi aeroangkasa di negeri ini.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi CubeSat merupakan platform satelit yang lebih kos efektif dan praktikal berbanding satelit konvensional.

KOS PEMBINAAN

Menurut beliau, kos pembinaan satelit konvensional boleh mencecah antara RM470 juta hingga RM1.4 bilion berbanding CubeSat yang hanya memerlukan kos kurang daripada RM2.34 juta.

Tambahnya, penggunaan CubeSat berpotensi tinggi untuk membolehkan Sarawak memperoleh data yang lebih tepat dan efisien bagi sektor-sektor berimpak tinggi, termasuk data penting bagi inisiatif perlindungan alam sekitar di negeri ini.

Sehubungan itu, fokus utama Sarawak ketika ini adalah kepada pembangunan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi aeroangkasa sebelum agenda ekonomi baharu ini dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Jika usaha ini dilaksanakan, kita memerlukan kira-kira 30,000 juruteknik satelit. Ini bermakna ia akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Justeru, Sarawak menerusi i-CATS akan bekerjasama dengan Universiti Tsinghua di China serta Universiti Istanbul di Turkiye bagi memacu pembangunan modal insan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 yang berlangsung bermula hari ini hingga 29 Januari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Penasihat Borneo Connect, Jeneral Tan Sri Dato Sri Affendi Buang (Bersara).

Wartawan/Foto: ERIC

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *