


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan inisiatif berimpak tinggi di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2026 berkata kementerian dan GLIC juga perlu memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.
“Analisis mendalam dan berterusan penting bagi mengelakkan kecenderungan hanya sekadar menyenaraikan usaha yang telah dilaksanakan, tanpa menilai impak sebenar serta ruang penambahbaikan yang wajar diterokai,” kata Anwar menerusi hantaran di FB.
Beliau yakin dengan pendekatan yang lebih bersepadu, berfokus dan tersusun.
“Saya juga yakin inisiatif-inisiatif di bawah PuTERA35 akan terus memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat serta menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan,” tambah Perdana Menteri. – JM
