
Wartawan JM
29 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran di mana boleh membawa kepada konflik terbuka.
Beliau berkata sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan memberi kesan terhadap situasi di Timur Tengah yang sedia rapuh.
“Ia termasuk risiko peningkatan konflik proksi, ancaman terhadap keselamatan maritim serta kejutan ekonomi yang teruk melangkaui rantau tersebut,” kata beliau dalam perkongsian di FB.
Anwar berkata tiada kepentingan strategik mampu mewajarkan kemusnahan manusia dan harta benda yang bakal timbul daripada konflik sedemikian.
KEAMANAN PERLU DIUTAMAKAN
Beliau menegaskan bahawa keamanan perlu diutamakan berbanding pertimbangan lain dan menggesa semua pihak berundur serta segera kembali kepada diplomasi dengan lebih serius, selain menggunakan sepenuhnya semua saluran komunikasi yang ada.
Beliau turut memuji usaha konstruktif Oman dalam memudah cara dialog dan menggesa negara berpengaruh agar menggunakan semua saluran yang ada bagi meredakan ketegangan itu serta mengamalkan kawalan kendiri sepenuhnya demi kepentingan kestabilan serantau dan antarabangsa.
“Media antarabangsa melaporkan bahawa menurut pemerhati, Kerajaan Iran kini bersedia menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu oleh AS dan Israel susulan penempatan semula aset utama daripada kumpulan serangan iaitu kapal pengangkut USS Abraham Lincoln ke rantau itu,” tambah Perdana Menteri. – JM
