Raja Muda Perlis lawat Projek Pembangunan PLKN 3.0 di Rejimen 504 AW Bukit Keteri

Oleh: Sholina Osman
29 JAN. 2026

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat tapak Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Cawangan Tadbir, Leftenan Kolonel Mohamad Shaffar Mat Saad @ Yatim, Ketua Cawangan Latih, Mejar Ahmad Fauzi Johari, serta Pegawai Staf 2 Pelaksanaan 922 Detasmen UPKAT, Mejar Nurul Afiqah Azmi.

Semasa sembah taklimat oleh Ketua Detasmen 922 Detasmen UPKAT, Leftenan Kolonel Mohammad Amri Datuk Khairuddin kepada Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), projek fasa pertama kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada 8 April 2026.

Kemasukan peserta PLKN pula dijangka bermula pada pertengahan atau hujung April 2026.

PEMBANGUNAN PENYEDIAAN PENGINAPAN

Skop pembangunan merangkumi penyediaan penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas serta kemudahan ibadah dan rekreasi, yang keseluruhannya dirangka bagi menyokong konsep latihan ‘Latih Untuk Perang’ secara lebih berkesan dan berstruktur.

Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan latihan serta tahap keselesaan anggota, di samping menyokong matlamat PLKN 3.0 dalam melahirkan generasi pelatih yang berdisiplin, berdaya tahan dan berdaya saing.

Selain itu, penyediaan fasiliti moden yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini berpotensi menarik penyertaan khususnya golongan profesional di Negeri Perlis untuk menyertai Askar Wataniah, selaras dengan penambahbaikan kemudahan dan sistem latihan yang lebih terkini.

Kemasukan peserta PLKN ke kem ini turut dijangka memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi masyarakat setempat melalui peningkatan aktiviti sokongan dan perkhidmatan di sekitar kawasan berkenaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *