







Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Delegasi Perlis International Sunnah Convention 2026 (PISC 2026) di Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
PISC 2026 akan dibarisi oleh tokoh-tokoh ilmuwan antarabangsa terkemuka, antaranya Sheikh Datuk Hussain Yee, Sheikh Abdul Raheem Green, Sheikh Assim Al-Hakeem, Sheikh Abdul Raheem McCarthy, Sheikh Abu Usamah Al-Thahabi, Sheikh Farhan Rafee, Sheikh Dr. Zakir Naik, Sheikh Dr. Muhammad Salah, Sheikh Haitham Al-Haddad serta Syeikh Mohammad al-Naqwi.
SEBUAH KONVENSYEN ILMIAH
Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 merupakan sebuah konvensyen ilmiah bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah, serta pencinta ilmu bagi membincangkan kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
Konvensyen berprestij ini merupakan acara tahunan anjuran Negeri Perlis dan sebahagian daripada kalender rasmi Tahun Melawat Perlis 2024–2026, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai pusat pengembangan ilmu Islam.
PISC 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2026, bertempat di Dewan 2020, Kangar.
PENGISIAN BERIMPAK
Sepanjang penganjurannya, konvensyen ini menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi merangkumi syarahan dan pembentangan ilmiah oleh ulama tempatan serta antarabangsa, forum dan wacana berkaitan isu semasa umat Islam, sesi interaksi serta perkongsian ilmu bersama para ilmuwan, di samping menjadi platform pengukuhan kefahaman Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
PISC 2026 dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan sokongan utama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta kerjasama strategik pelbagai agensi, institusi akademik, dan badan bukan kerajaan (NGO).
Penganjuran PISC 2026 bukan sahaja berfungsi sebagai medan penyebaran dakwah dan ilmu, malah berperanan penting dalam mengangkat Perlis sebagai hab ilmu Islam serta destinasi pelancongan berteraskan ilmu dan kerohanian di peringkat nasional dan antarabangsa. – JM
