SPRM, UNODC SELARAS INISIATIF LATIHAN DAN KERJASAMA

Putrajaya, 29 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan komitmen untuk melaksanakan inisiatif dan kerjasama yang dibentangkan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, kerjasama itu merangkumi latihan peningkatan kepakaran dan pemanfaatan teknologi-teknologi terkini.

Menurutnya, ia juga merupakan langkah proaktif bagi memastikan strategi pencegahan rasuah negara sentiasa relevan dengan arus globalisasi terkini.

“Melalui pemantapan kapasiti di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan inisiatif pencegahan rasuah seperti Global Integrity Education (GIE), kita bukan sahaja mampu memperkasakan kepakaran pegawai, malah membina asas integriti yang kukuh melalui modul-modul bertaraf antarabangsa,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi UNODC di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Delegasi UNODC tersebut diketuai oleh Ketua Pasukan Hub Antirasuah bagi Asia Tenggara dan Pasifik UNODC, Annika Wythes.
Dalam pertemuan itu, Tan Sri Azam turut menyambut baik cadangan UNODC berhubung program integriti dalam pengurusan sukan yang bakal dilaksanakan di Kuching, Sarawak sebagai langkah melindungi ekosistem sukan negara daripada pelbagai ancaman termasuk manipulasi perlawanan dan pertaruhan haram.

Selain itu, sinergi antara SPRM dan UNODC ini juga akan menfokuskan aspek teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan jenayah siber dengan kolaborasi kepakaran dari peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhannya, perancangan UNODC ini selari dengan aspirasi SPRM untuk menjadi agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia. Kami akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan setiap program dilaksanakan dengan impak maksimum,” katanya.

Sementara itu, Annika Wythes merakamkan penghargaan atas komitmen jitu SPRM dan menyifatkan visi Tan Sri Azam dalam memacu kerjasama ini membuktikan Malaysia sebagai rakan strategik utama bagi UNODC di rantau Asia Tenggara dan Pasifik.

Pihak UNODC juga berbesar hati dengan kesediaan SPRM untuk berkongsi kepakaran dan sumber dalam menjayakan agenda antirasuah sejagat.

Turut hadir Pegawai Program Nasional UNODC, Vickram Ragunath; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.

SPRMMalaysia

BeraniDanRadikalPerangiRasuah

taatsetia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *