Malek Razak Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa 1 Februari

Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2026

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT), berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata
pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari 2026, dan seterusnya telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026.

Beliau berkata Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM,” kata beliau dalam kenyataan media.

Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987
dengan pangkat Leftenan Muda.

40 TAHUN PERKHIDMATAN

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *