RM30 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN PUSAT PENEMUAN RIZAB ALAM SEMULA JADI PIASAU

MIRI, 29 Januari — Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM30 juta bagi pembangunan Pusat Penemuan Rizab Alam Semula Jadi Piasau (Piasau Nature Reserve Discovery Centre) yang dijangka menjadi hab utama eko-pelancongan marin di Miri apabila siap kelak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata projek itu bermula pada 5 Ogos 2025 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 4 Ogos 2027, dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.

Menurut beliau, pembinaan pusat berkenaan akan memperkukuh produk pelancongan di Rizab Alam Semula Jadi Piasau serta berfungsi sebagai pusat interpretasi tambahan bagi melengkapkan kemudahan sedia ada.

Apabila siap kelak, pusat ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pelawat, malah memainkan peranan penting dalam pendidikan, kesedaran dan pemeliharaan alam sekitar marin.

Bangunan itu juga akan menempatkan pejabat pengurusan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti dan Taman Negara Beting Luconia bagi memperkukuh penyelarasan serta pengurusan kedua-dua taman negara marin tersebut.

Datuk Sebastian Ting turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kelulusan peruntukan berkenaan yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pemuliharaan marin dan pembangunan eko-pelancongan mampan.

Beliau berkata, pembangunan Pusat Penemuan itu dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada Miri serta Sarawak secara keseluruhan melalui pemuliharaan dan pertumbuhan sektor eko-pelancongan marin.

NORIZA

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *