MAIPs salur RM150,000 kepada mangsa banjir Acheh hasil kutipan di 101 buah masjid

Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2026

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan komitmen tinggi dalam agenda kemanusiaan sejagat dengan menyalurkan sumbangan bantuan berjumlah RM150,000 bagi meringankan penderitaan mangsa banjir di wilayah Acheh, Indonesia.

Inisiatif ini merupakan cerminan keperihatinan jitu umat negeri Perlis terhadap musibah besar yang melanda wilayah tersebut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung bersempena dengan penganjuran Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di Kangar, malam tadi.

Majlis simbolik tersebut telah disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

HASIL MOBILISASI KUTIPAN

Dana bantuan yang berjaya dikumpulkan itu merupakan hasil mobilisasi kutipan yang digerakkan secara serentak di 101 buah masjid di seluruh negeri Perlis melalui ‘Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh’ baru-baru ini.

Sumbangan tersebut turut merangkumi sumbangan ikhlas daripada pelbagai lapisan masyarakat dan para dermawan yang tampil menyahut seruan kebajikan yang dianjurkan oleh MAIPs.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataannya mengulas mengenai kutipan tersebut berkata, penglibatan seluruh kariah masjid di negeri ini membuktikan bahawa institusi masjid di Perlis memainkan peranan yang amat kritikal sebagai pusat penggerak kebajikan dan perpaduan ummah yang merentasi sempadan geografi.

INI ADALAH AMANAH

“Sumbangan ini adalah amanah daripada seluruh umat Perlis. MAIPs merasa amat terharu dengan maklum balas yang diberikan oleh masyarakat di mana dalam tempoh yang singkat, kutipan daripada 101 masjid ini menunjukkan betapa kuatnya semangat solidariti kita terhadap saudara-saudara kita di Acheh yang sedang diuji dengan bencana banjir besar,” ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan Yayasan Ubudiah Acheh, Indonesia sebagai rakan pelaksana dengan kerjasama Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Sumatera Utara adalah berdasarkan pengalaman NGO berkenaan yang mempunyai rangkaian kerja yang mantap di kawasan terjejas.

Dalam pada itu, MAIPs merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa masjid dan para penderma budiman yang telah menyumbang. Segala usaha kolektif ini diharapkan dapat memberikan sedikit sinar harapan dan kekuatan kepada mangsa banjir di Acheh untuk bangkit semula membina kehidupan mereka, di samping mendoakan agar setiap sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah Azzawajalla. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *