




Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2026
KERAJAAN sentiasa komited membantu dan memartabatkan seni tempur negara sebagai warisan bangsa yang boleh diangkat ke peringkat antarabangsa.
Justeru, peruntukan sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan industri seni mempertahankan diri negara.
Pengasas Pertubuhan Lima Generasi, Datuk Abdullah Ghani Kassim berkata, inisiatif kerajaan menyalurkan peruntukan tersebut dilihat sebagai suntikan penting bagi memastikan seni mempertahankan diri tempatan terus berkembang secara tersusun dan profesional.
MEMPERKASA PROGRAM LATIHAN
Katanya, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi memperkasa program latihan atlet, jurulatih, penganjuran kejohanan, serta usaha mempromosikan seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Bila ada dana, mula bergerak. Dengan mana-mana gelanggang yang tiada “punching bag” atau buat
“punching bag”, perbesarkan gelanggang. Jadi, Alhamdulillah, impian itu menjadi kenyataan. Sasaran pesilat negara pada masa akan datang, kalau boleh, kita akan perbesarkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Pendekar Negara di sebuah hotel di Seremban.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara merupakan satu acara berprestij yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, hasil cetusan idea daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu dan turut mendapat sokongan sepenuhnya melalui saluran dana khas daripada Perdana Menteri.
MENYEDIAKAN PERUNTUKAN KHAS
Anwar merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang menyediakan peruntukan khas dan signifikan bagi menghargai jasa para pendekar negara yang sekian lama berjuang mempertahankan dan memartabatkan seni mempertahankan diri warisan bangsa, yang juga diiktiraf sebagai benteng pertahanan ketiga negara.
Perdana Menteri turut memberi kepercayaan penuh kepada Abdullah selaku pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia untuk merangka serta menyalurkan agihan peruntukan ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menegaskan, antara fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan seni persilatan diperkenalkan secara lebih meluas dalam sistem pendidikan, termasuk usaha menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
SEKOLAH MEMPUNYAI SILAT
“Antara lain, kita sekarang sedang berusaha untuk memastikan setiap sekolah mempunyai silat. Kita pastikan anak-anak, terutamanya murid-murid sekolah, mengenali silat sama ada silat seni budaya, silat sukan dan sebagainya,” katanya.
Pada majlis itu juga, enam anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu dan pertubuhan yang telan
mengharumkan nama negara serta berjasa besar dalam arena seni mempertahankan diri tanah air. – JM
