




Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2026
Pertubuhan Lima Generasi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan
sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sokongan strategik kepada pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara.
Kenyataan media Pertubuhan Lima Generasi Malaysia Peruntukan memaklumkan bahawa ini mencerminkan kepercayaan dan komitmen berterusan kerajaan dalam mengangkat seni mempertahankan diri sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi, bukan sahaja dari
sudut kebudayaan dan sukan, malah sebagai elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan ketiga negara.
Sebagai penerima amanah, Pertubuhan Lima Generasi Malaysia
akan memastikan peruntukan ini dimanfaatkan secara berfokus
dan berimpak tinggi merangkumi pembangunan atlet dan jurulatih,
penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan, serta usaha memperluas promosi seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
MENJADI PEMANGKIN PENTING
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, menyatakan bahawa peruntukan ini menjadi pemangkin penting bagi membolehkan pelaksanaan
program pembangunan dilakukan secara lebih tersusun dan profesional.
Menurut beliau, dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf
prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas
kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan
atlet agar sasaran melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia dapat direalisasikan secara berperingkat.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban,
Negeri Sembilan malam tadi merupakan manifestasi awal kepada
pelaksanaan inisiatif ini.
ADALAH PENGANJURAN SULUNG
Majlis berkenaan adalah penganjuran
sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, tercetus daripada
Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu
dan direalisasikan melalui sokongan dana khas Perdana Menteri.
Pertubuhan ini turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin
berhubung usaha kerajaan untuk memperluaskan pengenalan seni
persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan
silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Langkah ini dilihat selari dengan matlamat jangka panjang untuk membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa.
SUMBANGAN BESAR PENGGIAT
Sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan besar penggiat seni mempertahankan diri negara, Majlis Apresiasi Pendekar Negara menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan
menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan silat, iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima
Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa
(Dr Aziwahija Yeop).
Anugerah Jasa Silat dianugerahkan kepada lima tokoh yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta melahirkan juara silat bertaraf dunia, iaitu Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru
Shamsunputra Datuk Dr Raja Abd Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari. Setiap penerima menerima insentif RM10,000.
ATLET MUAY THAI
Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, tiga atlet Muay Thai negara — Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor — menerima insentif RM10,000 setiap seorang atas kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.
Anugerah Emas Sukan SEA pula diberikan kepada enam atlet
negara yang menyumbang pingat emas kepada Malaysia,
melibatkan atlet silat iaitu Ummi Mashitah Hassan, Muhammad
Izzul Irfan Marzuki dan Nursyafiqah Hamzah, serta atlet Muay Thai
Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijam dan Angie Yan
Jia Chi. Setiap atlet menerima insentif RM5,000.
PENGHARGAAN JURULATIH SILAT
Pengiktirafan kepada barisan jurulatih disampaikan menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara kepada Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar, masing-masing menerima insentif RM5,000 atas komitmen dan pengorbanan
mereka membangunkan atlet negara.
Bagi memperluas jangkauan seni persilatan dalam kalangan generasi muda, Anugerah Duta Silat turut dianugerahkan kepada Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi yang berperanan besar mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya. Setiap penerima menerima insentif RM10,000.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara ini menandakan fasa pertama
pelaksanaan inisiatif penghargaan dan pembangunan seni
mempertahankan diri negara, dengan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat bersama kerajaan serta semua pemegang taruh demi memastikan
kesinambungan warisan dan kecemerlangan seni tempur tanah air. – JM
