Program “Road To Perlis Agro Fest” catat jualan RM310,000

Oleh: Sholina Osman
Foto FB FAMA Perlis
3 FEB. 2026

Program “Road To Perlis Agro Fest” anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selama dua hari telah berjaya mencatatkan nilai jualan berjumlah RM310,000.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata pihaknya berpuas hati kerana nilai jualan ini telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM300,000.

Beliau berkata Program “Road To Perlis Agro Fest” yang diadakan di Sungai Batu Pahat, Perlis itu adalah sebagai pra-festival untuk memperkenalkan program Perlis Agro Fest 2026 pada bulan April nanti.

“Ia telah melibatkan 65 orang usahawan daripada 5 kluster jualan,” kata beliau dalam kenyataan media.

PENGUNJUNG YANG DIREKODKAN

Mohd Anzara berkata jumlah pengunjung yang direkodkan di sepanjang program adalah sebanyak 28,000 orang.

Jelas beliau pelbagai aktiviti yang menarik diadakan di swpanjang seperti Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung mengembalikan nostalgia Taman Rekreasi Sungai Batu Pahat yang pernah menjadi
lokasi Pertandingan Seni Suara Burung Peringkat Asean pada tahun 90-an menarik perhatian hampir 200 orang peminat dari seluruh utara.

Dalam program itu juga, hampir 3,000 set Kombo MADANI yang ditawarkan dalam Jualan Khas Agro MADANI habis terjual selama dua hari program.

Pelaksanaan Jualan Agro MADANI
telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM65,000 melibatkan 8 orang usahawan dengan nilai penjimatan sebanyak RM19,000 untuk manfaat 8,000 isi rumah pada tahun ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *