SARAWAK TUBUH JAWATANKUASA TANGANI ISU BULI DI SEKOLAH, IPT DAN TEMPAT KERJA

KUCHING, 3 Feb – Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli Sarawak, bagi menangani kes buli secara menyeluruh di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan bertujuan menangani isu buli yang melibatkan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) serta tempat kerja.

Tambah beliau, jawatankuasa itu turut bersetuju untuk melaksanakan program kesedaran bagi memberi penerangan kepada kumpulan sasar.

Jelasnya lagi, bantuan bukan sahaja perlu diberikan kepada mangsa, malah sistem sokongan juga penting bagi memastikan mangsa berani tampil membuat laporan.

“Perkara yang sangat penting ialah memberi penerangan kepada kumpulan sasaran kita, iaitu pelajar sekolah, pelajar di institusi pengajian tinggi, warga di tempat kerja serta anak-anak yang belajar di sekolah swasta supaya mereka memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan buli. Apabila mereka faham dan menyedari bahawa mereka pernah menjadi mangsa buli sebelum ini, mereka akan tahu bahawa tindakan perlu diambil dan tidak seharusnya membiarkan diri mereka mengalami kecederaan fizikal, sebagai contoh. Oleh itu, usaha mewujudkan kesedaran ini amat penting.” katanya.

Dato Sri Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa tersebut di pejabatnya, di sini, hari ini.

Antara agensi yang terlibat di bawah jawatankuasa tersebut ialah Jabatan Pendidikan Negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak serta Persatuan Kesihatan Mental Sarawak.

DEBBIE AMANDA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *