






Oleh: Sholina Osman
6 FEB. 2026
Sebanyak 47 buah pasukan melibatkan 564 orang pemain mengambil bahagian dalam Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden 2025 di negeri Perlis.
Keputusan Kejohanan Woodball merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2025 menyaksikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)muncul sebagai johan, diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau selaku naib johan.
Kolej Matrikulasi Perlis pula menduduki tempat ketiga, manakala Pejabat Duli Yang Maha Mulia (PDYMM) Tuanku Raja Perlis berada di tempat keempat.
Sementara itu, bagi Piala Presiden 2025, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dinobatkan sebagai johan, diikuti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis selaku naib johan.
IKBN KUALA PERLIS
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis meraih tempat ketiga, manakala Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Perlis menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.
Kejohanan ini menghimpunkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, agensi serta jabatan dan badan sukan di seluruh Perlis, sekali gus berperanan sebagai platform pembangunan bakat serta pemerkasaan sukan woodball di peringkat akar umbi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan kejohanan tahunan tersebut yang berlangsung di Laman Woodball Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
14 ORANG ATLET
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda menzahirkan ucapan tahniah kepada 14 orang atlet dan tiga pegawai Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) atas kejayaan cemerlang mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA di Thailand, apabila berjaya meraih empat pingat gangsa.
Baginda bertitah bahawa pencapaian membanggakan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet Perlis untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda agar terus berusaha dan berdisiplin dalam mengejar kecemerlangan sukan pada masa hadapan.
Seiring dengan kejayaan berprestij tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra mencadangkan agar Kejohanan Liga Woodball 2026 Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden dilaksanakan lebih awal, bermula April hingga November 2026.
Pelaksanaan yang lebih tersusun ini diyakini dapat memperkukuh persiapan atlet dan penganjur, khususnya menjelang Kejohanan Piala Dunia Woodball (WCWC) ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 31 Julai 2026 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
KEJOHANAN BERTARAF DUNIA
Tuanku Raja Muda turut menyatakan keyakinan bahawa kejohanan bertaraf dunia itu mampu dianjurkan dengan cemerlang, sekali gus memartabatkan Perlis sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar lebih banyak jabatan, agensi kerajaan serta sektor swasta tampil menyertai kejohanan musim 2026.
Penyertaan menyeluruh ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan umat Perlis, malah berfungsi sebagai platform penting dalam melahirkan atlet woodball yang berkualiti, berdaya saing dan berpotensi tinggi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Secara keseluruhannya, penganjuran kejohanan ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan sukan negeri, khususnya dalam melahirkan atlet berdaya saing serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia.
Di samping mencungkil bakat baharu, kejohanan ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara institusi, persatuan dan agensi berkaitan dalam usaha memartabatkan woodball sebagai salah satu cabang sukan kompetitif di Malaysia. – JM
