
7 Feb 2026
Lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia yang bermula hari ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-India berikutan hubungan dua hala yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2024 terutama dalam perdagangan dan kerjasama ekonomi merentas pelbagai sektor, kata penganalisis.
Langkah naik taraf itu diumumkan semasa lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi sekali gus meletakkan India antara enam rakan CSP Malaysia yang turut merangkumi Australia, China, Amerika Syarikat, Jepun dan Vietnam.
Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Dr Yanitha Meena Louis berkata perbincangan ekonomi dijangka dijangka tertumpu kepada pelaksanaan CSP dengan meningkatkan aliran perdagangan, kerjasama pelaburan dan kesalinghubungan bagi memudahkan libat urus perniagaan yang lebih meluas.
HUBUNGAN DIPLOMATIK YANG KUKUH
Sementara itu,
lawatan rasmi tetamu negara ini mencerminkan hubungan diplomatik yang
kukuh serta saling menghormati antara kedua-dua negara.
Kementerian Dalam
Negeri (KDN) melalui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab menyusun semua persiapan keselamatan sempena lawatan tersebut demi memastikan tiada sebarang insiden yang boleh mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.
Sehubungan itu, orang ramai digesa tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh lawatan rasmi tersebut. Pihak PDRM juga akan berjumpa dengan penganjur perhimpunan dan meminta mereka memberi kerjasama tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang.
Sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negara, KDN melalui PDRM akan terus melaksanakan
tanggungjawabnya secara profesional dan tegas bagi menjamin keselamatan
rakyat serta kestabilan negara.
Sumber: Bernama
