




Oleh: Sholina Osman
9 FEB 2026
Kerajaan MADANI bersetuju untuk meluaskan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk merangkumi makanan sejuk beku (frozen food).
Kenyataan media Kementerian Kewangan memaklumkan dengan penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas.
Penambahan kategori frozen food turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan.
Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datum Seri Anwar, Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer.
Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri hari ini, Kerajaan MADANI menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua mulai hari ini (9 Februari 2026).
LEBIH 22 JUTA
Dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion, lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa dapat memanfaatkan kredit one-off RM100 SARA untuk Semua yang sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.
Dengan SARA untuk Semua, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA untuk Semua secara keseluruhan – tidak termasuk bantuan SARA Bulanan jika berkelayakan. – JM
