PMX, Modi saksi pertukaran 11 MoU,dokumen pelbagai sektor kerjasama kedua negara

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri
9 FEB. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri
India Narendra Modi menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen yang merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara pada 8 Februari.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di sini, diadakan sempena lawatan rasmi dua hari Modi ke Malaysia atas jemputan Anwarr.

Pada majlis ini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari India, S. Jaishankar bertukar tiga MoU antara kedua-dua kerajaan berkaitan kerjasama dalam pengurusan bencana, pembanterasan dan pencegahan rasuah serta perjanjian mengenai penerbitan bersama audio-visual.

MENGENAI KERJASAMA PENGAMAN

Dokumen tambahan lain termasuk Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor serta penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Setiausaha Timur Kementerian Hal Ehwal Luar India, P. Kumaran turut bertukar Memorandum Kerjasama antara Employees’ State Insurance Corporation (ESIC) Republik India dan Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO) serta Pertukaran Nota mengenai kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keselamatan.

Amran dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. N. Reddy juga bertukar nota mengenai penjagaan kesihatan antara Malaysia dan India.

Antara menteri Kabinet Malaysia yang hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

TERBINA ATAS PERSAHABATAN

“Saya tegaskan bahawa hubungan Malaysia–India terbina atas persahabatan yang terjalin sejak sekian lama, berpaksikan kepercayaan dan saling menghormati, dan terus diperkukuh demi kemakmuran bersama pada sidanf media,” kata Perdana Menteri dalam perkongsian di FB.

Beliau percaya kerjasama ekonomi kedua-dua negara boleh diperkasa, termasuk menerusi peningkatan perdagangan dua hala, memperluas penggunaan ringgit dan rupee dalam pelaburan serta perdagangan, di samping mempercepat kerjasama dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga dan ekonomi digital.

“Pendidikan juga kekal dekat di hati saya, dengan komitmen untuk membuka lebih banyak ruang pertukaran pelajar dan kerjasama institusi pengajian tinggi, di samping memperkukuh TVET serta pembangunan bakat yang akan membentuk generasi masa depan,” kata beliau.

Anwar berkata menyentuh isu serantau dan antarabangsa, beliau zahirkan penghargaan terhadap komitmen tegas Modi dalam menyokong usaha keamanan dunia, termasuk berhubung situasi di Asia Barat khususnya Gaza, serta konflik Ukraine-Rusia.

“Dalam semangat persahabatan ini, saya turut menyatakan persetujuan Malaysia terhadap pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah,” kata Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *