Pelaksanaan agenda digital, AI negara mesti digerakkan lebih pantas – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 FEB 2026

Pelaksanaan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara mesti digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan demikian ketika
mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/202.

“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi mesti mempertingkat serta mempercepat pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.

PELANCARAN MALAYSIA DIGITAL

Anwar berkata ia termasuk persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.

Jelas beliau mesyuarat turut menekankan usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi-aplikasi kerajaan.

Di samping itu kata beliau perlu mewajibkan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat.

PEMBENTANGAN DARIPADA KEMENTERIAN

Perdana Menteri berkata turut menjadi agenda adalah pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Digital berkaitan Government Innovation Initiative (GII) yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara.

“Mesyuarat juga mengambil maklum input daripada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (National AI Office, NAIO) yang menekankan pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan, meliputi pelbagai sektor serta memastikan peluang penyertaan yang inklusif kepada semua peringkat umur,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *