





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 FEB 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menghargai usaha kerajaan Selangor yang memacu kemajuan tanpa mengabaikan jiwa kemanusiaan menerusi percambahan kegiatan sastera dan budaya yang segar.
Beliau berkata usaha ini juga sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dengan menghidupkan semula gagasan Kuala Lumpur sebagai kota budaya dan sejarah.
Beliau berkata ia menerusi pemulihan warisan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara sebagai lambang perjuangan, kedaulatan dan penolakan terhadap penjajahan serta penindasan.
DENGAN PENGISIAN MAKNA
“Lebih penting, langkah ini diiringi dengan pengisian makna, kisah perjuangan serta peranan sasterawan dan seniman, selari dengan roh MADANI yang menuntut kemajuan ekonomi dan teknologi dipacu bersama nilai dan kemanusiaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar hadir majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Sastera & Budaya Selangor (DASA) 2026 di Shah Alam, malam tadi.
Perdana Menteri berkata beliau melihat sastera dan budaya sebagai wadah penting untuk membina kesedaran dan memastikan kemajuan negara terus berakar pada sejarah serta pengalaman bangsanya.
MEMARTABATKAN WARISAN KESUSASTERAAN
“Penghargaan tertinggi buat Kerajaan Selangor, GAPENA, KEMUDI, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Selangor yang tekal memartabat warisan kesusasteraan dan kebudayaan negara,” kata beliau.
Beliau juga tersentuh mendengar deklamasi syair, keroncong dan puisi yang memukau, khususnya puisi “Padang Kita” yang disampaikan oleh Azmi Ismail dan Aflieza Arshad dengan penuh jiwa dan penghayatan. – JM
