TERAJU terus berperanan jadi pemangkin utama transformasi landskap ekonomi Bumiputera – Menteri Ekonomi

Oleh: Sholina Osman
11 FEB. 2026

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan terus memainkan
peranan sebagai pemangkin utama dalam mentransformasi landskap ekonomi Bumiputera, khususnya dalam mempercepatkan
penskalaan perniagaan dan penciptaan nilai syarikat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata selain itu, TERAJU juga berperanan memperkukuh ekosistem
keusahawanan, memudah cara pelaburan bernilai tinggi serta
membuka akses pasaran dan rantaian nilai strategik kepada syarikat Bumiputera.

“Saya berharap pihak TERAJU akan terus mengekalkan momentum pada
tahun 2026 melalui insiatif yang dilancarkan pada hari ini bagi
mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, merealisasikan
penciptaan nilai syarikat yang sebenar, serta memudah cara pelaburan berimpak tinggi yang menjana peluang pekerjaan tempatan dan memacu pertumbuhan negara yang mampan,” kata Akmal Nasrullah.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Teraju Aspirasi Outreach 2026: “Merealisasikan Pensklaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera” di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur.

MEMANTAU PELAKSANAAN INISIATIF

“Saya difahamkan pada pada masa ini Dashboard Pemantauan
PuTERA35 sedang dinaik taraf bagi memantau pelaksanaan inisiatif
secara bersepadu dan berasaskan data,” kata Akmal Nasrullah.

Oleh itu, beliau yakin 132 ikhtiar
di bawah PuTERA35 dilaksanakan akan terus memberi manfaat
merentasi pelbagai lapisan masyarakat sekaligus menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan.

Beliau menyeru semua pihak agar memperkukuh iltizam, meningkatkan
produktiviti serta bersedia melaksanakan perubahan yang perlu untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera demi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih berkualiti.

YANG LEBIH KHUSUS

Jelas Akmal Nasrullah Kerajaan memberi tumpuan yang lebih khusus di bawah RMK13 terhadap pembangunan usahawan Bumiputera apabila memasuki tahun 2026.

“Fokus ini digerakkan melalui intervensi bersasar, khususnya dalam 11 sektor potensi Bumiputera dan industri HGHV agar penyertaan Bumiputera benar-benar bergerak ke arah sektor bernilai tinggi dan berimpak besar,” kata beliau.

Beliau berkata antara intervensi utama yang telah dirangka merangkumi pengukuhan
institusi pembiayaan ekuiti, penyediaan dana pemangkin dan akses pembiayaan alternatif yang disediakan melalui agensi-agensi mandat Bumiputera termasuk TERAJU.

“Kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengukuhan model
perniagaan dan menambah baik ekosistem perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) Bumiputera supaya
menyokong peralihan kepada aktiviti yang menghasilkan nilai tambah
lebih tinggi dan seterusnya menyumbang dengan lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *