Hayati intipati al-Quran sebagai kunci utama mendepani kemelut hidup – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 2026

Umat Islam digesa untuk kembali kepada asas ajaran al-Quran dan menghayati setiap intipatinya sebagai kunci utama dalam mendepani pelbagai kemelut kehidupan moden hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah perlu dijadikan landasan teguh bagi mencapai kejayaan yang seimbang di dunia dan akhirat.

Baginda menegaskan bahawa segala bentuk permasalahan, sama ada dari sudut peribadi, sosial mahupun kedaulatan ummah, sebenarnya telah digariskan jalan penyelesaiannya di dalam kalam Allah tersebut.

MEMPUNYAI JALAN KELUAR

“Tiada masalah yang tidak mempunyai jalan keluar sekiranya kita kembali kepada petunjuk al-Quran. Ia adalah manual kehidupan yang lengkap bagi membimbing manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran,” titah Baginda.

Titah berkenaan dizahirkan Tuanku Raja Muda ketika berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melakukan lawatan ke Maahad Tahfiz al-Quran Darul Jannah, Ban Chalong, Satun, Thailand baru-baru ini.

Demikian menurut kenyataan MAIPs hari ini.

BAGI AKTIVITI RAMADAN

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan bagi aktiviti Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi kepada pengurusan Maahad Tahfiz berkenaan.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk menyokong kelancaran program ibadah dan pendidikan para pelajar sepanjang bulan suci ini.

Hadir sama mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, wakil dari Majlis Agama Islam Wilayah Satun, serta Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *