







Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 2026
Polis Perlis berjaya merampas dadah jenia Syabu yang dianggarkan seberat 98.73 kilogram bernilai RM4,936,600.00 ekoran penahanan seorang lelaki berusia 20 tahun berhampiran pondok kawalan Pasukan Gerak Am (PGA), Jalan KTMB, Padang Besar.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pada 9 Februari 2026, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak telah berjaya menahan suspek di lokasi berkenaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta yang dipandu oleh suspek telah ditemui empat guni putih didalamnya mengandungi dadah disyaki jenis Syabu.
“Modus operandi yang digunakan suspek ini dipercayai dengan menggunakan laluan tikus di sempadan daerah Padang Besar Malaysia-Thailand sebagai laluan penyeludupan dadah sebelum di hantar ke selatan tanah air,” kata Muhammad dalam sidang media di IPK Perlis di Kangar hari ini.
TELAH BERTINDAK AGRESIF
Beliau berkata suspek telah bertindak agresif dengan memandu kereta secara melulu sehingga membahayakan pasukan yang melakukan serbuan.
“Satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kereta suspek bagi tujuan melindungi nyawa pasukan serbuan,” kata Muhammad.
Beliau berkata suspek telah mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki akibat tindakan suspek merempuh kenderaan milik pasukan serbuan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif ketamine,” kata Muhammad.
MEROSAKKAN SERAMAI 493,650
Muhammad berkata, jumlah dadah yang dirampas ini boleh merosakkan seramai 493,650 orang yang menggunakannya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman sehingga 16 Februari bagi membantu siasatan,” kata beliau.
Muhammad menjelaskan suspek dikesan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan ketum.
Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 di mana JSJN telah menyita sebuah motosikal jenama Yamaha Y15zr yang dianggar bernilai RM7000.00. – JM
