MCMC siasat penyebaran naratif palsu, berunsur 3R di media sosial

Wartawan JM
14 FEB. 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran naratif palsu dan berunsur 3R di media sosial berhubung insiden kemalangan yang tular di Selangor dan telah dimanipulasi sehingga
mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.

MCMC merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor yang mengesahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan serta tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.

Justeru, sebarang cubaan mengaitkannya dengan isu 3R adalah tidak bertanggungjawab dan
mengelirukan.

Analisis MCMC mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.

PELABELAN BERUNSUR PERKAUMAN

Naratif sensasi dan pelabelan berunsur perkauman yang ditokok tambah adalah serius dan berpotensi mengancam ketenteraman awam.

Setakat ini, 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan.

MCMC tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.

Dalam perihal ini, seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] melarang penyebaran atau penerbitan kandungan yang antara lain, bersifat palsu, mengancam atau jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588 sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *