MALAYSIA PERKUKUH CPI MELALUI REFORMASI STRATEGIK

Putrajaya, 14 Februari – Kejayaan Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan dasar dan reformasi, tetapi turut dipengaruhi oleh pendekatan komunikasi yang strategik, konsisten dan berimpak tinggi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, komunikasi dan hebahan berhubung usaha reformasi tatakelola baik oleh Kerajaan perlu dipergiat secara proaktif, bersasar dan berterusan bagi memastikan usaha yang digerakkan difahami dengan jelas oleh semua pihak berkepentingan, termasuk pelabur, komuniti antarabangsa dan masyarakat umum.

Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI 2025 apabila melonjak ke tangga ke-54 daripada 182 negara dengan skor 52/100, berbanding ke-57 daripada 180 negara dengan skor 50/100 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan itu mencerminkan keseriusan dan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda pembanterasan rasuah di peringkat nasional.

“Komunikasi strategik memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk persepsi baik. Kepelbagaian platform media, khususnya media sosial yang kini menjadi medium utama berperanan besar dalam mempengaruhi pandangan awam,” katanya.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut ialah peranan aktif Pasukan Petugas Khas CPI dalam menyelaras usaha meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap Malaysia, pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluas kuasa pengauditan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pelaksanaan usaha-usaha reformasi institusi dan perundangan.

Reformasi berkenaan merangkumi penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, usaha ke arah penubuhan Ombudsman Malaysia, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta komitmen untuk melaksanakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI Siri 4 Bil. 1/2026 di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bangunan Perdana Kompleks A Putrajaya, di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut meneliti pembentangan oleh Presiden Transparency International Malaysia, Raymon Ram berhubung perincian prestasi CPI Malaysia 2025 serta analisis dapatan survei dan hala tuju pelaksanaan setiap Kumpulan Fokus (FG) bagi 2026.

Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Shamsul Azri turut mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang merekodkan peningkatan dalam beberapa kajian utama CPI 2025.

MPC mencatatkan peningkatan menerusi IMD World Competitiveness Yearbook dan World Economic Forum, manakala MITI menunjukkan peningkatan melalui International Country Risk Guide terbitan PRS Group.

Bagaimanapun, dua kajian menunjukkan penurunan iaitu Political & Economic Risk Consultancy (PERC) serta Indeks Kedaulatan Undang-Undang World Justice Project Rule of Law (WJP) yang menilai persepsi berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran awam.

Beliau turut memuji usaha beberapa agensi dalam memperkukuh pengurusan komunikasi masing-masing dan menyifatkan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara yang berperanan baik dalam mengeluarkan kenyataan serta memberikan tindak balas yang strategik, pantas dan berimpak tinggi.

“Peningkatan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan tahap keyakinan komuniti global terhadap sistem tatakelola negara kita.

“Saya berharap semua ahli Pasukan Petugas Khas CPI termasuk enam FG CPI dapat memberi komitmen penuh, memperkemas penyelarasan antara agensi serta memastikan mesej pembaharuan Kerajaan sampai dengan jelas kepada semua pihak berkepentingan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Dato’ Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff; Ketua Setiausaha MITI, Dato’ Hairil Yahri Yaacob; Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang hadir secara dalam talian dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (KKOM), Datuk Abdul Halim Hamzah.

SPRMMalaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *